Isnin, 30 November 2020 | 11:53am
JURUJUAL, Hoi Kew Seng, 41, diringi polis ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Mahkamah Majistret Kajang. NSTP/Hairul Anuar Rahim
JURUJUAL, Hoi Kew Seng, 41, diringi polis ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Mahkamah Majistret Kajang. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pemandu mabuk mengaku tidak salah langgar operator kilang

KAJANG: Seorang jurujual didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Tertuduh Hoi Yew Seng, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Terdahulu, tertuduh yang hadir berkemeja-T hitam dan seluar jeans hanya diam serta tunduk sepanjang prosiding yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yew Seng didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Nelzin Didal Mat Lazim, 44, penunggang motosikal dengan nombor pendaftaran BMK4749.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kilometer 3.8 Lebuhraya LEKAS, Hulu Langat, di sini, jam 11.35 pagi, pada 27 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda RM50,000 serta hilang kelayakan memandu 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Tan Teck Yew memohon jaminan RM10,000 dengan alasan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perniagaannya sangat terjejas.

"Tertuduh juga mempunyai tiga anak yang masih belajar serta isteri tidak bekerja," katanya.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X