Ahad, 29 November 2020 | 2:17am
Antara premis hiburan dan karaoke di sekitar ibu negara yang diserbu polis, malam kelmarin. - NSTP/Foto ihsan polis
Antara premis hiburan dan karaoke di sekitar ibu negara yang diserbu polis, malam kelmarin. - NSTP/Foto ihsan polis

Lima pusat hiburan, karaoke digempur

KUALA LUMPUR: Seramai 180 pengunjung di lima pusat hiburan dan karaoke sekitar ibu negara, ditahan serta dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malam kelmarin.

Serbuan bermula jam 10 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, IPD Dang Wangi serta IPD Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata enam wanita serta tiga lelaki tempatan dalam kalangan pengunjung ditahan di salah sebuah premis hiburan terbabit juga didapati positif dadah.

"Serbuan dilakukan selepas kita menerima maklumat daripada orang awam mengenai ada pusat hiburan dan karaoke masih beroperasi meskipun kerajaan sudah lama mengeluarkan larangan berikutan pelaksanaan PKP.

"Justeru bersandarkan maklumat risikan, semua elemen terbabit pada peringkat kontinjen dan daerah digerakkan untuk mengesan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang berdegil," katanya kepada BH.

Beliau berkata, walaupun pemilik premis hiburan menggunakan pelbagai taktik dan helah bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kegiatan mereka tetap dapat dihidu.

"Objektif utama kita ialah memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat dihapuskan, selain mengesan kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Serbuan dijalankan itu meliputi kawasan sekitar Jalan Metro Pudu, Jalan Gelang, Jalan Ampang dan Bukit Bintang.

Berita Harian X