Selasa, 24 November 2020 | 2:53pm
Empat PATI yang cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus di Tebedu diusir keluar, malam tadi. NSTP/MARKAS 1 DIV
Empat PATI yang cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus di Tebedu diusir keluar, malam tadi. NSTP/MARKAS 1 DIV

4 PATI cuba bolosi sempadan diusir

KUCHING: Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke negeri ini melalui jalan tikus di Tebedu, ditahan sebelum diusir, malam tadi.

Kehadiran PATI terbabit yang menggunakan laluan tikus antara Tebedu, Sarawak dan Entikong di wilayah Kalimantan Barat, dikesan sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia yang sedang melakukan rondaan pada jam 9.35 malam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri, berkata selepas disoal siasat, PATI yang berasal dari Entikong itu mengaku ingin ke Kuching untuk bekerja.

"Mereka kemudiannya diusir keluar dari Malaysia selepas diberi amaran keras," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, pengusiran PATI itu adalah yang kedua dilakukan di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, khususnya di Tebedu pada waktu malam, dalam tempoh dua minggu.

"Sebelum ini pada 7 November lalu, 4 PATI dari Entikong cuba menyusup masuk ke Malaysia bagi tujuan yang sama.

"Cubaan memasuki Sarawak secara haram pada waktu malam dan awal pagi itu tidak berhasil berikutan kawalan sempadan yang ketat dan tindakan pantas pasukan keselamatan," katanya.

Berita Harian X