Ahad, 22 November 2020 | 8:52pm
Mayat Mohd Tajudin Yob, 49, yang maut disambar petir di kawasan sawah yang dilimpahi air banjir di Kampung Gulau, Pokok Sena. - Foto ihsan Bomba
Mayat Mohd Tajudin Yob, 49, yang maut disambar petir di kawasan sawah yang dilimpahi air banjir di Kampung Gulau, Pokok Sena. - Foto ihsan Bomba

Lelaki maut dipanah petir ketika menjalan ikan

Alor Setar: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia, akibat disambar petir ketika menjala ikan dalam kawasan sawah dilimpahi banjir di Kampung Gulau dekat Pokok Sena, petang tadi.

Dalam kejadian disedari jam 4.17 petang itu, mangsa, Mohamad Tajudin Yob, 49, ditemui sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mangsa dipercayai sedang menjala ikan sebelum disambar petir.

"Kejadian menimpa mangsa disedari orang awam yang ternampak peristiwa itu sebelum menghubungi polis.

"Jasad mangsa ditemui berhampiran lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.18 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi jam 4.45 petang.

"Operasi disertai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Mohd Asri Samsudin bersama dua jentera termasuk EMRS.

"Setibanya di lokasi didapati mangsa dipercayai disambar petir dan terjatuh ke dalam kawasan sawah yang dilimpahi banjir," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi mengarahkan anggota memakai jaket keselamatan sebelum mengesan mangsa di lokasi.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X