Jumaat, 20 November 2020 | 11:44am
KPDNHEP merampas pakaian berjenama tiruan yang beroperasi secara dalam talian dengan nilai keseluruhan RM67,750.00. - Foto KPDNHEP
KPDNHEP merampas pakaian berjenama tiruan yang beroperasi secara dalam talian dengan nilai keseluruhan RM67,750.00. - Foto KPDNHEP

Barangan tiruan bernilai RM67,750 dirampas

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), merampas pakaian berjenama tiruan yang beroperasi secara dalam talian dengan nilai keseluruhan RM67,750.00.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Halim Sulaiman, berkata operasi itu dijalankan hasil aduan wakil pemilik cap dagang berhubung modus operandi peniaga berkenaan yang mengiklankan pakaian berjenama tiruan pada harga lebih murah daripada pasaran bagi menarik perhatian pembeli.

"Operasi dijalankan di sebuah kediaman di Taman Cheras Jaya dekat Balakong, Selangor baru-baru ini membabitkan seramai tujuh pegawai penguatkuasa KPDNHEP, Putrajaya.

"Pengadu berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran selepas membuat pesanan dalam talian kerana alamat peniaga tertera pada bungkusan yang dikirimkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan bersama wakil pemilik cap dagang, terdapat pelbagai jenis baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan, disimpan di premis berkenaan.

"Kesemua barangan dirampas dan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku pemilik premis itu sudah diambil keterangan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah," katanya.

Jika sabit kesalahan, suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000.

Jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Halim turut memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

"Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.

Berita Harian X