Khamis, 19 November 2020 | 10:43am
Lelaki disyaki membunuh bapanya dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas permohonan tahanan reman diperoleh. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Lelaki disyaki membunuh bapanya dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas permohonan tahanan reman diperoleh. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Lelaki disyaki tikam bapa direman

JELEBU: Lelaki disyaki membunuh bapanya dalam kejadian di Simpang Pertang jam 9.30 pagi semalam direman selama tujuh hari.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Rahimah Rahim selepas mendengar permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Jelebu pagi ini.

Suspek tiba di mahkamah pada jam 8.15 pagi, memakai baju T dan berseluar pendek warna hitam.

Rahimah mengarahkan perintah reman terhadap suspek, bermula hari ini sehingga 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut dan menunggu laporan bedah siasat mayat mangsa yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, hari ini.

Media semalam, melaporkan seorang anak menikam bapanya dengan sebilah pisau sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Simpang Pertang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut di antara suspek berusia 35 tahun dengan bapanya, 59 yang menegurnya kerana leka bermain telefon.

Berita Harian X