Rabu, 18 November 2020 | 4:30pm

Bot karam, empat nelayan warga asing dikhuatiri lemas

JERTIH: Empat nelayan warga asing dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka karam dan tenggelam kira-kira 12 batu nautika daripada perairan Kuala Besut, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi tadi membabitkan sebuah bot nelayan dalam perjalanan dari Jeti Perikanan Geting, Tumpat, Kelantan.

Katanya, bot itu dinaiki tekong seorang warga Thailand dan awak-awak warga Myanmar dipercayai karam di perairan Pulau Perhentian berhampiran Pulau Susu Dara akibat ribut kencang.

"Dalam kejadian itu seorang mangsa warga Myanmar diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lain manakala empat mangsa berumur 40-an masih belum dijumpai.

"Bot yang dinaiki mereka didaftarkan di Kelantan dan dalam perjalanan ke lokasi menangkap ikan sekitar perairan Terengganu petang semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini, hari ini.

Azrol berkata, mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti Tok Bali, Kelantan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan Pasukan Polis Marin Wilayah Timur membabitkan dua pegawai serta 11 anggota dengan sebuah bot.

"Dalam operasi itu, pihak PDRM turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Timur dengan kekuatan lima pegawai dan 51 anggota membabitkan satu bot serta satu kapal mencari dan menyelamat.

"Radius kawasan mencari dan menyelamat sekitar enam batu nautika daripada lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh adik kepada pemilik bot dan semua nelayan warga asing itu memiliki permit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Polis, Azrol Anuar Nor pada sidang media mengenai 4 nelayan yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam kira-kira jam 3 pagi tadi di 12 batu nautika daripada Perairan Kuala Besut berdekatan Pulau Perhentian dan Pulau Susu Dara. - Foto NSTP
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Polis, Azrol Anuar Nor pada sidang media mengenai 4 nelayan yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam kira-kira jam 3 pagi tadi di 12 batu nautika daripada Perairan Kuala Besut berdekatan Pulau Perhentian dan Pulau Susu Dara. - Foto NSTP
Berita Harian X