Rabu, 18 November 2020 | 3:44pm
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Pengarah syarikat didakwa tipu kawan RM38,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung pelaburan X Wallet membabitkan kerugian RM38,00, tahun lalu.

Tan Chee Hoo, 44, didakwa menipu kenalannya Chue Sow Mei, 44, dengan memperdaya tertuduh mengenai keuntungan dalam pelaburan X Wallet itu dan dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang RM38,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit Kondominium Sri Desa, Off Jalan Klang Lama di sini, antara 5 dan 6 November 2019 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta dengan sebat selain boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu mengalihkan harta milik mangsa sama berjumlah RM38,000 yang dimasukkan ke dalam akaun RHB Bank milik tertuduh di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi menawarkan jaminan RM12,000, manakala peguam Edmond Teh yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM3,000 atas alasan anak guamnya berpendapatan RM5,100 sebulan dan ini kali pertama dia didakwa di mahkamah.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Januari 2021 untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X