Selasa, 17 November 2020 | 4:25pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Cuba tipu doktor mohon sumbangan anjur tahlil, doa selamat COVID-19

KUALA LUMPUR: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu seorang doktor dengan memberikan surat palsu bagi memohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat berhubung COVID-19.

Mohd Rizul Fuadzam Abu Bakar, 44, dan Mohamad Razif Mohamad Razlan, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Dua lelaki terbabit didakwa bersama-sama cuba menipu Dr Kwan Mun Keong, 50, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa surat itu adalah tulen bagi tujuan meminta sumbangan wang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini pada 5.44 petang, 9 November lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, doktor terbabit yang ingin memberi sumbangan sebanyak RM10,000 menyedari ditipu selepas meminta rakannya mengenal pasti sama ada surat berkenaan tulen atau palsu.

Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh.

Mohd Rizul Fuadzam merayu jaminan rendah dengan alasan dia yang diberhentikan kerja sejak April lalu, perlu menyara isteri yang sarat mengandung serta lima anak.

Mohamad Razif pula yang bekerja sebagai penjual kereta, juga memohon jaminan rendah atas alasan menyara ibu bapanya.

Aina Azahra membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, masing-masing diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Terdahulu di Mahkamah Majistret berasingan, Mohd Rizul Fuadzam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memalsukan surat memohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat berhubung COVID-19, bagi tujuan hendak menipu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan masa sama, dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid tidak menawarkan jaminan.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Berita Harian X