Ahad, 15 November 2020 | 2:41pm
Tentera menahan tiga PATI dan dua rakyat tempatan yang cuba menyeludup sejumlah barang ke Indonesia melalui Lubok Antu.- Foto NSTP/Ihsan Markas 1 Divisyen Infantri
Tentera menahan tiga PATI dan dua rakyat tempatan yang cuba menyeludup sejumlah barang ke Indonesia melalui Lubok Antu.- Foto NSTP/Ihsan Markas 1 Divisyen Infantri

PATI cuba lolos di laluan tikus dicekup

KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu termasuk lapan warga asing ditahan kerana disyaki cuba meloloskan diri di laluan tikus dan menyeludup barang, di persempadanan Sarawak serta Kalimantan Barat.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan hari ini, berkata semua suspek ditangkap menerusi Op Benteng di Tebedu dan Lubuk Antu, Sarawak semalam.

"Pada jam 5.15 petang itu, sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan, berjaya mengesan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di seberang Taman Selera Puspa Indah, dekat Tebedu.

"Mereka dilihat sedang menunggu orang untuk mengambil mereka. Selepas disoal siasat, kelima-lima PATI itu didapati bekerja di Bintulu hendak balik ke Indonesia menggunakan lorong tikus sempadan Malaysia dan Indonesia.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut kenyataan itu, anggota keselamatan berkenaan kemudian menangkap tiga warga Indonesia dan dua warga tempatan, dekat Lubuk Antu jam 7.50 malam, pada hari sama.

"Kita membuat pemantauan di lokasi kedua dikenali masyarakat tempatan sebagai Pondok John kira-kira 400 meter dari sempadan Malaysia dan Indonesia.

"Anggota yang sedang dalam kedudukan serang dan tangkap melihat seorang individu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dengan berulang-alik ke arah Pondok John.

"Ia seolah-olah bagi memantau tahap semasa di kawasan itu daripada kawalan keselamatan oleh pihak tentera," katanya.

Mengulas lanjut, 1 Divisyen berkata, penunggang motosikal itu tanpa menyedari pergerakan diperhati pihak berkuasa, dilihat mengiringi dua kenderaan jenis pacuan empat roda dari Malaysia ke arah sempadan Indonesia.

"Anggota dengan segera keluar dan menahan dua kenderaan itu, manakala orang awam yang menunggang motosikal itu melarikan diri," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, lima individu termasuk seorang remaja terbabit ditangkap bersama beberapa barangan, termasuk 15 bungkus kayu gaharu bernilai RM400,000, 573 botol minuman keras selain sejumlah wang tunai.

"Turut disita, dua kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan Toyota Hilux. Semua barangan dirampas bernilai RM492,771.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubuk Antu untuk siasatan lanjut," katanya.

1 Divisyen menegaskan, pihaknya menerusi Op Benteng komited mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya, TDM sentiasa fokus dan mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam melaksanakan sebarang operasi keselamatan.

Berita Harian X