Jumaat, 13 November 2020 | 5:19pm

Serah diri selepas tikam kawan hingga mati

SITIAWAN: Seorang lelaki menyerah diri kepada polis dalam keadaan berlumuran darah dan membawa pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam rakannya hingga mati, hari ini.

Kejadian dilaporkan di bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat dekat sini, pada kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Mangsa lelaki berusia 42 tahun maut selepas dipercayai parah ditikam di leher dan perut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata suspek berusia 51 tahun itu datang ke balai bersama adiknya bagi memaklumkan mengenai kejadian pada jam 1.20 tengah hari.

"Mangsa berkerja sebagai peniaga buah dikatakan datang ke bengkel suspek kerana mahu menuntut hutangnya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

"Mangsa dikatakan memukul suspek dan mencari pisau di bengkel itu sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Suspek mendakwa merampas senjata daripada mangsa sebelum menikamnya di leher dan perut," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Nor Omar berkata, lokasi kejadian bersebelahan rumah keluarga suspek dan ketika kejadian adik lelakinya berusia 40-an yang berkerja di bengkel itu bersama anak lelaki mangsa berusia 15 tahun turut berada di lokasi.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis mengambil keterangan tiga saksi.

"Suspek dan adiknya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Peniaga buah maut ditikam rakannya ketika mahu menuntut hutang dalam kejadian di bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Peniaga buah maut ditikam rakannya ketika mahu menuntut hutang dalam kejadian di bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X