Isnin, 9 November 2020 | 4:01pm

KPDNHEP lupus barang tiruan RM1.5 juta

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kelantan melupuskan pelbagai jenis barangan kawalan dan berjenama tiruan berjumlah lebih RM1.59 juta.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman, berkata jumlah itu membabitkan 752 kes bermula Januari hingga hari ini, yang mana pihak KPDNHEP melaksanakan lima kali pelupusan bagi tahun 2020.

Semua barangan yang dilupuskan adalah yang selesai menjalani proses mahkamah membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Antara barangan yang dilupuskan seperti baju jersi, selipar, cakera digital dan beg tangan tiruan pelbagai jenama. Selain itu, pihak kami turut melupuskan 22 buah kenderaan pelbagai jenis sepanjang tahun ini," katanya dalam sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP, Pengkalan Chepa hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, KPDNHEP Kelantan menerima 183 aduan berkaitan pembelian dalam talian membabitkan penjual yang tidak menghantar barangan yang dipesan.

"Selain itu terdapat juga dua kes membabitkan penghantaran barangan tiruan kepada pelanggan, juga melalui pembelian dalam talian," katanya.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kelantan, Adnan Abd Rahman (dua dari kiri) melupuskan beg tangan jenama tiruan yang dirampas. - Foto NSTP/ Syaherah Mustafa
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kelantan, Adnan Abd Rahman (dua dari kiri) melupuskan beg tangan jenama tiruan yang dirampas. - Foto NSTP/ Syaherah Mustafa
Berita Harian X