Isnin, 9 November 2020 | 3:41pm

Datuk didakwa lakukan ugutan jenayah guna pistol, cederakan wanita

KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah menggunakan pistol dan mencederakan seorang wanita pada bulan lalu.

Tertuduh, Datuk Razali Daud, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan, di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Fauzilah Mohamed, 53, menggunakan pistol yang mana ugutan itu boleh menyebabkan kematian atau cedera parah, berhampiran pusat jualan kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu, pada jam 11 pagi 28 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Fauzilah pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau dengan denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Ahmad 'Adha memohon jaminan minimum terhadap anak guamnya kerana tertuduh menjaga ibu yang berpenyakit Parkinson serta diabetes, manakala isteri pula tidak bekerja dan menghidap darah tinggi serta migrain.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ahli perniagaan, Datuk Razali Daud, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahli perniagaan, Datuk Razali Daud, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X