Ahad, 8 November 2020 | 5:53pm
Keadaan anjing yang dicederakan dengan kejam sebelum mati. - Foto FB Persatuan Haiwan Malaysia
Keadaan anjing yang dicederakan dengan kejam sebelum mati. - Foto FB Persatuan Haiwan Malaysia

Anjing dibunuh kejam, lelaki direman 4 hari

JASIN: Kejam. Itulah gambaran terhadap seorang lelaki yang tergamak membunuh kejam seekor anjing jirannya hingga perut terburai dalam kejadian di Taman Maju, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai menceroboh masuk ke dalam garaj rumah jirannya yang juga seorang suri rumah sebelum mengamuk dan mencederakan anjing terbabit dengan menggunakan sebilah parang kecil sebelum haiwan itu dilaporkan mati.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata ketika kejadian suri rumah berusia 50 tahun itu terdengar salakan anjing peliharaannya itu beberapa kali lalu meninjau keadaan luar rumah dari tingkap bilik.

Katanya, wanita itu terkejut apabila melihat perbuatan suspek yang juga seorang penganggur mencederakan haiwan berkenaan menggunakan parang kecil.

"Berdasarkan laporan awal, ketika kejadian pintu pagar rumah pengadu tidak berkunci dan suspek masuk sebelum tiba-tiba mengamuk dengan mencederakan anjing itu.

"Melihat perbuatan suspek itu, wanita berkenaan tidak berani keluar rumah bagi menyelamatkan anjing peliharaannya kerana terlalu takut," katanya ketika dihubungi di sini hari.

Mispani berkata, anjing berkenaan mengalami kecederaan di bahagian perut di mana usus perutnya terkeluar namun ketika kejadian anjing berkenaan masih lagi hidup.

Bagaimanapun, anjing malang itu bagaimanapun mati beberapa jam kemudian akibat kecederaan teruk yang dialami.

"Suspek yang dilihat berada dalam keadaan mabuk kemudian berjalan keluar dari rumah pengadu dan membuat bising dengan menjerit di luar rumah itu.

Kejadian kekejaman terhadap anjing itu menjadi tular di Facebook (FB) rasmi milik Persatuan Haiwan Malaysia sebelum dikongsi di beberapa kumpulan FB dan Whatsapp.

Sementara itu, Mispani berkata, polis sudah menahan suspek lelaki itu pada hari sama kejadian dan merampas sebilah sabit besi dan pisau.

Katanya, kini lelaki itu direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh dan Seksyen 428 Kanun kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.

Berita Harian X