Ahad, 8 November 2020 | 2:04pm

Kes konstabel maut: Pembantu kedai santan dipenjara lapan tahun

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu kedai santan dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret,  di sini,  hari ini, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Konstabel Nicholester Dadup Unggat, Ahad lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan berkenaan selepas Mohamad Syafiq Lokman, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan itu.

Mohamad Syafiq juga hilang kelayakan mengambil lesen memandu sehingga lima tahun atas sabitan berkenaan.

Ia adalah kes pertama sabitan hukuman lebih berat mengikut pindaan baharu Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berkuatkuasa 23 Oktober lalu.

Dalam mahkamah berasingan, Mohd Syafiq turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan lagi secara berasingan dan denda RM5,000, atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Majistret Nurasidah Rahman turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan lagi secara berasingan dan menjalani perintah pengawasan selama dua tahun,  atas kesalahan memasukan dadah dalam badan, mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), kira-kira jam 11.30 malam 1 November lalu.

Mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman yang diperuntukkan adalah penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 serta tempoh pengawasan maksimum tiga tahun.

Terdahulu, mahkamah turut memerintahkan rakannya, tertuduh kedua, Siti Noor Ashikin Muhammad Arifin, 26, yang juga seorang ibu tunggal dipenjara lapan bulan dan didenda RM1,000.

Majistet Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Siti Noor Ashikin mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan kenderaan miliknya disewa teman lelakinya yang tidak mempunyai lesen memandu.

Siti Noor Ashikin, juga diperintahkan supaya dipenjara lapan bulan dan perintah pengawasan dua tahun atas kesalahan memasukan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badan

Teman lelakinya, Muhamad Syahrihudin Abdul Majid, 24, yang juga tertuduh ketiga pula, didenda RM1,000 dan jika gagal bayar, tiga bulan penjara, atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

Seorang lagi teman mereka yang turut berada dalam kereta Perodua Myvi ketika kemalangan maut itu, Muhamad Aiman Romli, 24, yang juga tertuduh keempat,pula dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan kerana memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Noridayu Md Kassim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Zain Ahmed
Empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X