X
Ahad, 8 November 2020 | 1:10pm
Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar tembok pembahagi jalan di MRR2 berdekatan susur ke Bulatan Batu Caves, pagi tadi. - Foto PDRM
Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar tembok pembahagi jalan di MRR2 berdekatan susur ke Bulatan Batu Caves, pagi tadi. - Foto PDRM

Dua maut, kereta langgar tembok pembahagi jalan

KUALA LUMPUR: Dua pekerja trak tunda atau 'callman' maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar tembok pembahagi jalan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan susur ke Bulatan Batu Caves di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 7.13 pagi itu, pemandu, Choong Wai Kiat, 29, dan penumpang, How Kim Seong, 25, disahkan maut di tempat kejadian dan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan yang terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios dipandu Wai Kiat dipercayai dipandu laju ketika kejadian.

"Kenderaan itu terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan di susur ke Bulatan Batu Caves.

"Akibat kemalangan itu, kenderaan terbabit terbalik dan kedua-dua mangsa tersangkut di dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk proses bedah siasat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Mat Nazir, berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dikejarkan lokasi untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

Berita Harian X