Jumaat, 6 November 2020 | 11:26am

Sesak 8km akibat kemalangan, tumpahan minyak di Lebuhraya PLUS

SEREMBAN: Beratus kenderaan terperangkap dalam kesesakan sejauh kira-kira lapan kilometer (km) disebabakan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Mohd Syazwan Saidy, berkata dalam kemalangan babitkan kereta jenis Honda City, Toyota Vios dan sebuah treler 39 tan yang membawa minyak kelapa sawit, jam 6.15 pagi berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.

"Kami menerima panggilan orang awam jam 7.07 pagi. Berdasarkan maklumat, kejadian berpunca daripada pemandu Honda City dikatakan memotong secara mengejut sehingga merempuh pembahagi jalan.

"Tindakan itu menyebabkan pemandu treler hilang kawalan dan melanggar Toyota Vios di hadapannya.

"Treler itu kemudiannya hilang kawalan sehingga bahagian belakang lori terputus dan terbalik," katanya di sini, hari ini.

BAHAGIAN ekor treler membawa muatan minyak kelapa sawit yang terbalik dalam kemalangan jalan raya di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran R&R Seremban. Ihsan Bomba.
BAHAGIAN ekor treler membawa muatan minyak kelapa sawit yang terbalik dalam kemalangan jalan raya di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran R&R Seremban. Ihsan Bomba.

KERETA Toyota Vios dan Honda City yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran R&R Seremban. Ihsan Bomba.
KERETA Toyota Vios dan Honda City yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran R&R Seremban. Ihsan Bomba.

Mohd Syazwan berkata, kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban.

"Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan kenderaan sejauh kira-kira lapan kilometer, selain tumpahan minyak sawit daripada treler berkenaan di bahagian pembahagi lebuh raya.

"10 anggota kami melakukan pembersihan tumpahan minyak sawit berkenaan manakala polis trafik membantu mengawal pergerakan lalu lintas," katanya.

Ketika ditemui, pemandu treler, Halim Ahmad, 49, berkata dia dalam perjalanan dari Tangkak, Johor ke Bandar Sirenia Salak Tinggi, Selangor.

"Ketika saya berada di laluan kiri, tiba-tiba Honda City berkenaan cuba memotong tetapi hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

"Ia menyebabkan treler yang saya pandu terganggu dan kemudian memasuki lorong tengah dan terus melanggar Toyota Vios di hadapan," katanya yang hanya mengalami kecederaan ringan di kaki kanan.

BAHAGIAN ekor treler membawa muatan minyak kelapa sawit yang terbalik dalam kemalangan jalan raya di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran R&R Seremban. Ihsan Bomba.
BAHAGIAN ekor treler membawa muatan minyak kelapa sawit yang terbalik dalam kemalangan jalan raya di KM 276.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran R&R Seremban. Ihsan Bomba.
Berita Harian X