Khamis, 5 November 2020 | 1:37pm

'Kubur berdarah' sebenarnya cecair dicampur bahan berminyak - Polis

ALOR SETAR: Polis mengesahkan cecair merah ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Al Irfan, Derga di sini, September lalu, ialah cecair campuran dan bukannya darah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata hasil ujian mendapati cecair itu dicampur dengan bahan berminyak seolah-olah darah.

Hasanuddin berkata, perbuatan meletak cecair seperti darah itu berkemungkinan dilakukan individu nakal.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan kerana ini kerja mereka yang nakal.

"Kes ini dianggap selesai dan kebetulan tanah perkuburan itu masih baharu menyebabkan ia mendap," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Datuk Muhammad Azlee Abdullah menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Ketua Polis Kedah baharu, Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun.

Muhammad Azlee berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah selama 18 bulan sebelum bersara wajib hari ini.

September lalu, kisah kubur berdarah tular di media sosial sehingga mengundang andaian yang boleh mengaibkan jenazah yang baharu dikebumikan dua minggu.

Berikutan itu, jemaah masjid berkenaan membuat laporan polis berkaitan video dan kisah yang tular di laman sosial agar polis menyiasat kes itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah daripada Datuk Muhammad Azlee Abdullah (kiri) kepada Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah daripada Datuk Muhammad Azlee Abdullah (kiri) kepada Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X