Khamis, 29 Oktober 2020 | 6:13pm
Keadaan motosikal yang ditunggang oleh Tan Chuan Heng selepas dilanggar oleh kereta dalam kejadian di Kilometer 41 Jalan Batu Pahat - Kluang Kira-kira jam 2.30 petang hari ini. - Foto ihsan Polis
Keadaan motosikal yang ditunggang oleh Tan Chuan Heng selepas dilanggar oleh kereta dalam kejadian di Kilometer 41 Jalan Batu Pahat - Kluang Kira-kira jam 2.30 petang hari ini. - Foto ihsan Polis

Warga emas maut dilanggar

KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Kilometer 41, Jalan Batu Pahat-Kluang kira-kira kira jam 2.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata Tan Chuan Heng, 61, menunggang bersendirian dari arah Kluang menuju Ayer Hitam.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, kereta dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun bersama seorang penumpang berumur 26 tahun secara tiba-tiba melanggar mangsa daripada belakang.

"Mangsa cedera di beberapa bahagian tubuh sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang memberi bantuan kecemasan.

"Mayat mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hang Seng berkata, pemandu kereta berasal dari Kampung Paya di sini, tidak mengalami kecederaan dan ditahan untuk siasatan manakala kenderaan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Saksi kejadian diharap tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X