Khamis, 22 Oktober 2020 | 9:47am
Sembilan guni putih mengandungi daun ketum seberat 270 kg yang disembunyikan di dalam sebuah rumah Mata Ayer, Perlis dirampas AKSEM pada 18 Oktober.FOTO/IHSAN ATM
Sembilan guni putih mengandungi daun ketum seberat 270 kg yang disembunyikan di dalam sebuah rumah Mata Ayer, Perlis dirampas AKSEM pada 18 Oktober.FOTO/IHSAN ATM

ATM rampas 2.25 tan ketum bernilai RM96,157

ALOR SETAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya merampas sejumlah 2.25 tan ketum bernilai RM96,157 dan memberkas dua tekong darat dalam Operasi Benteng Zon Utara di sempadan negara bermula 18 hingga 21 Oktober lalu.

Markas Briged Keenam Infantri dalam kenyataan, berkata semalam, dua lelaki tempatan berasal dari Perlis ditahan ketika cuba menyeludup 1.5 tan metrik ketum bernilai lebih RM69,000.

"Mereka menggunakan kereta Proton Wira dan Proton Saga bagi mengangkut daun ketum di dalam plastik hitam sebelum ia ditinggalkan di Hutan Rizab Sungai Badak bagi diambil tekong dari Thailand.

"Hasil rampasan terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya.

Kelmarin, ATM turut merampas 16 guni ketum seberat 480 kilogram (kg) yang cuba diseludup ke Thailand melalui Durian Burung.

Katanya, rampasan dianggarkan bernilai RM18,400 termasuk dua motosikal Suzuki Smash 110cc dan Honda Wave 110 RS yang digunakan bagi mengangkut daun ketum.

"Pada 18 Oktober lalu juga, Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Perlis menemui sembilan guni putih mengandungi ketum seberat 270 kilogram (kg) disembunyikan di sebuah rumah di Mata Ayer.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM8,100 sudah diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar untuk tindakan selanjut," katanya.

Beliau berkata, semua daun ketum yang dirampas di kawasan Op Benteng Zon Utara itu dipercayai cuba dibawa ke Thailand melalui laluan haram dan pagar keselamatan yang sengaja dirosakkan oleh tekong.

Berita Harian X