Rabu, 21 Oktober 2020 | 12:58pm

Suami maut, isteri parah, kereta jatuh jejambat

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut, manakala isterinya parah apabila kereta dinaiki pasangan itu dan terjatuh di jejambat Jalan Kepayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun yang tersangkut di tembok jejambat itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isterinya berusia 35 tahun yang dipercayai terjatuh bersama kereta parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya yang menerima panggilan mengenai kemalangan itu bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Katanya, sebaik tiba, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga.

"Kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri dan melanggar tembok jalan lalu terjatuh ke bawah jejambat itu.

"Mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala isterinya dibawa menaiki ambulans ke HQE II," katanya.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KEADAAN sebuah kereta yang terjunam jatuh dari jejambat di Jalan Kepayan Bypass, malam tadi. KHIS/MOHD ADAM ARININ
KEADAAN sebuah kereta yang terjunam jatuh dari jejambat di Jalan Kepayan Bypass, malam tadi. KHIS/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X