Isnin, 19 Oktober 2020 | 4:20pm
Othman menunjukkan pistol digunakan penjenayah warga asing dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis pada sidang media di IPD Temerloh. Foto NSTP/ROSELAN AB MALEK
Othman menunjukkan pistol digunakan penjenayah warga asing dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis pada sidang media di IPD Temerloh. Foto NSTP/ROSELAN AB MALEK

Dua penjenayah warga asing mati ditembak

TEMERLOH: Dua suspek dipercayai warga asing mati ditembak kejadian berbalas tembakan dengan polis dekat Kampung Charuk Puting, dekat sini, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an dipercayai menjadi dalang dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah dan curi dalam bangunan sejak tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan, berkata kejayaan operasi itu hasil kerjasama JSJ Pahang dan Terengganu menerusi risikan serta maklumat awam.

"Pegawai dan anggota dari JSJ Pahang dan Terengganu melakukan operasi bersama hasil maklumat awam dan kira-kira jam 5 pagi tadi, mereka terserempak dengan sebuah kenderaan jenis TOYOTA Camry dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Jerantut-Temerloh.

"Sebaik pegawai dan anggota kami memperkenalkan diri, suspek bertindak memecut kenderaan itu dan cuba melanggar kenderaan dinaiki pasukan polis.

"Kenderaan suspek kemudiannya berjaya dipintas sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pegawai dan anggota kami.

"Mereka terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan akhirnya kedua-dua suspek terkena tembakan serta disahkan maut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, hari ini.

Othman berkata, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan turut cedera ringan apabila terkena tembakan dilepaskan suspek.

"Bagaimana pun, pegawai terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan dirujuk ke hospital berhampiran bagi tujuan pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah dan curi dalam bangunan di sekitar Pahang dan Terengganu sejak tahun lalu, dengan nilai anggaran kerugian kira-kira RM300,000.

"Siasatan masih diteruskan dan kita tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai rangkaian lain serta terbabit dalam jenayah sama di negeri berhampiran.

"Kereta TOYOTA Camry digunakan suspek bukan kenderaan curi dan hasil semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang pemilik warga asing," katanya.

Katanya, polis turut menemui sejumlah peralatan pecah rumah dan bangunan, termasuk sepucuk senjata api jenis revolver Smith & Wesson .38 bersama empat kelongsong peluru dan satu peluru, sebilah parang panjang, dua unit pemotong besi dan pengumpil.

Berita Harian X