Isnin, 19 Oktober 2020 | 12:03am

Polis berkas 'Datuk' disyaki menyamar pegawai kanan Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mendakwa kerugian RM60,000 yang sepatutnya dibayar kepada along, selepas terperdaya dengan individu bergelar 'Datuk' disyaki menyamar sebagai pegawai kanan polis.

Lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan meminjam RM200,000 daripada seorang along pada 2017 sebagai modal pusingan perniagaan, dan perlu membuat pembayaran balik sebanyak RM1,500 sebulan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata perniagaan mangsa bagaimanapun dikatakan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, beliau berkata, mangsa dikata gagal menjelaskan bayaran bulanan sejak Mac lalu sehingga menyebabkan dirinya sering diugut dan diganggu along.

Katanya, mangsa kemudian berkenalan dengan seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kanan polis di Bukit Aman.

"Mangsa menceritakan masalah dihadapinya dan suspek menawarkan diri untuk membantu. Suspek kemudian dikatakan menghubungi along terbabit dan berbincang kononnya akan menyelesaikan hutang mangsa.

"Seterusnya, along terbabit menghubungi mangsa dan memberitahu segala urusan pembayaran balik hutang mesti melalui suspek.

"Mangsa yang percaya dikata menyerahkan wang RM60,000 kepada suspek untuk dibayar kepada along terbabit sebagai melangsaikan hutang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Namun, Nik Ezanee berkata, mangsa mendakwa wang itu dilesapkan suspek yang disyaki bersekongkol dengan along terbabit, sebelum membuat laporan polis pada 4 Oktober lalu.

"Hasil siasatan dijalankan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, menahan seorang lelaki berusia 36 tahun disyaki along, di Cheras pada Isnin lalu.

"Hasil soal siasat, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun bergelar 'Datuk' ketika dia sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Cheras, kelmarin (Jumaat lalu)," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, suspek pertama direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati suspek berkenaan disyaki terbabit kegiatan kongsi gelap.

"Semakan mendapati suspek kedua pula pernah memilik syarikat keselamatan dan gelaran 'Datuk' yang digunakan adalah sah.

"Suspek itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya.

Berita Harian X