Jumaat, 16 Oktober 2020 | 2:28pm
Seramai 26 PATI warga Indonesia ditangkap ketika bersembunyi di dalam hutan Tanjung Lompat, Desaru, Kota Tinggi di Johor, awal pagi tadi. - NSTP/FOTO IHSAN ATM
Seramai 26 PATI warga Indonesia ditangkap ketika bersembunyi di dalam hutan Tanjung Lompat, Desaru, Kota Tinggi di Johor, awal pagi tadi. - NSTP/FOTO IHSAN ATM

26 PATI sembunyi dalam hutan diberkas

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa memberkas 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia sedang bersembunyi di dalam hutan Tanjung Lompat, Desaru, Kota Tinggi di Johor, awal pagi tadi, sekali gus membuat rampasan dianggarkan bernilai hampir RM50,000.

Semua PATI termasuk sembilan wanita berusia 20 hingga 49 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 pagi, hasil intipan selama dua hari oleh pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD).

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa tangkapan itu dijalankan dalam sektor Op Benteng bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Katanya, siasatan awal mendapati semua PATI itu dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan tidak sah.

"Susulan maklumat perisikan awal diperoleh, sepasukan anggota pasukan 1 KAD melaksanakan intipan selama dua hari di sekitar kawasan hutan Tanjung Lompat dipercayai menjadi lokasi PATI berkumpul.

"Pada jam 4.15 pagi tadi, pasukan itu mengatur gerak empat Pasukan Reaksi Cepat (QRF) bersama Pasukan Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk melaksanakan tinjauan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan terbabit akhirnya berjaya mengesan kedudukan PATI sebelum mengepung dan menahan mereka.

"Selain tangkapan, kita turut merampas wang tunai Malaysia lebih RM20,000, mata wang Indonesia sebanyak 21.7 juta Rupiah (kira-kira RM6,100), 34 telefon bimbit, 23 jam tangan dan beberapa barang kemas.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM50,000," katanya.

Menurut kenyataan itu, PATI terbabit kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, tugas pengesanan terus dilakukan pasukan QRF bagi menjejak kemungkinan saki-baki PATI masih berada di sekitar kawasan tangkapan.

Berita Harian X