Khamis, 15 Oktober 2020 | 3:22pm
Ismasuhaimi Sharif (dua kanan) menunjukkan gambar kenderaan yang beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) dan kenderaan yang membawa muatan bahaya dalam operasi khas JPJ Kedah. - Foto/Noorazura Abdul Rahman
Ismasuhaimi Sharif (dua kanan) menunjukkan gambar kenderaan yang beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) dan kenderaan yang membawa muatan bahaya dalam operasi khas JPJ Kedah. - Foto/Noorazura Abdul Rahman

JPJ sita 10 kenderaan e-hailing tanpa permit

ALOR SETAR: Sebanyak 10 kenderaan perkhidmatan e-hailing milik sebuah syarikat dikesan beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) di beberapa lokasi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff, berkata kegiatan pemandu itu dikesan melalui penyamaran anggota JPJ pada Ops Khas 12 dan 13 Oktober lalu.

"Kita melakukan penyamaran terhadap 15 kenderaan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LSAH) serta sekitar Kulim dan Sungai Petani.

"Pemeriksaan mendapati, hanya lima kenderaan mempunyai eVP, manakala 10 tidak mempunyai permit menyebabkan pemandunya diambil tindakan mengikut Seksyen 16(1) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 80(1) APAD 2010," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Kedah di sini, hari ini.

Kenderaan pemandu berusia antara 30 hingga 60 tahun melakukan perkhidmatan secara sambilan itu turut disita.

Katanya, kebanyakan alasan diterima adalah mereka tidak tahu perlu mempunyai premit kerana sebaik sahaja memuat turun aplikasi berkenaan sudah menerima tempahan pelanggan.

"Jadi dalam isu ini operator syarikat e-hailing bertanggungjawab memastikan pemandu mereka melengkapi syarat sebelum memulakan operasi.

"Kenderaan pemandu disita akan diserah kembali selepas selesai siasatan, tujuan kita bukan untuk membebankan mereka kerana tahu mereka memerlukan kenderaan ini untuk aktiviti harian," katanya.

Berita Harian X