Selasa, 13 Oktober 2020 | 5:29pm

Jururawat dakwa terima gangguan seksual pesakit COVID-19

MELAKA: Seorang jururawat Hospital Melaka mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual pesakit COVID-19 di hospital itu, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 29 tahun itu dikatakan diganggu suspek berusia 60 tahun ketika sedang menguruskan pesakit terbabit di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 5.45 petang.

Warga emas terbabit dikatakan mengeluarkan perkataan berbaur lucah ketika jururawat berkenaan sedang melakukan prosedur rawatan terhadapnya.

Susulan itu, jururawat terbabit membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Salinan laporan polis itu turut tular di media sosial sejak kelmarin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai laporan polis yang dibuat jururawat berkenaan.

Katanya, siasatan dalaman di peringkat jabatan sedang dilakukan secara komprehensif dan pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, mangsa dikatakan sedang menguruskan suspek dan mengambil darah di wad ICU hospital berkenaan sebelum warga emas itu mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.

Difahamkan, lelaki itu pada mulanya menerima panggilan telefon dari seorang wanita dipercayai isterinya dan membuka pembesar suara ketika berkomunikasi.

Jururawat itu kemudian panik dengan kelakuan warga emas itu memandangkan hanya dia bersama lelaki itu berada di dalam bilik berkenaan.

Tidak terhenti di situ, sejurus menamatkan panggilan, warga emas berkenaan kemudian meminta jururawat terbabit melihat saiz kondom kateter urin yang baharu dan meminta wanita itu memasang kondom berkenaan di kemaluannya.

Jururawat itu yang takut selepas mendengar permintaan serta kata lucah warga emas berkenaan mengadukan perkara itu kepada pihak atasan hospital sebelum laporan polis dibuat.

Berita Harian X