X
Sabtu, 10 Oktober 2020 | 11:10am
Kereta yang dinaiki tiga individu terbabit dalam kemalangan jalan raya dekat Rembau. - Foto Bomba
Kereta yang dinaiki tiga individu terbabit dalam kemalangan jalan raya dekat Rembau. - Foto Bomba

Seorang maut kemalangan dekat Rembau

REMBAU: Seorang remaja perempuan maut, manakala dua rakan parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 232.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, C Breanna Anne Malar, 18, yang beralamat di Skudai, Johor disahkan maut di tempat kejadian, sementara dua lagi rakannya iaitu lelaki berusia 20 tahun dan perempuan berusia 19 tahun cedera parah.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam, berkata kemalangan berkenaan membabitkan kereta dinaiki mangsa bersama dua rakannya dengan treler.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Senawang.

"Pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori yang sedang bergerak di lorong kiri.

"Kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar tebing bukit. Mangsa yang duduk di belakang maut kerana mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anuar Bakri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat, manakala dua rakannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Susulan kejadian berkenaan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau diketuai Pegawai Bomba, Abdul Hakim Awang ditugaskan ke tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Isa Wahab, 49, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan menghantar roti dari Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang.

Katanya, beliau memandu di lorong paling kiri dan terkejut dengan dentuman kuat dari belakang, lalu memberhenti kenderaan di lorong kecemasan.

"Saya lihat orang ramai membantu mengeluarkan dua mangsa di hadapan yang tidak tersepit," katanya.

Berita Harian X