Selasa, 6 Oktober 2020 | 4:17pm
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pendakwaan akan buktikan Hasanah pecah amanah AS$12.1 juta

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan membuktikan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid telah melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) dengan sebahagiannya digunakan bagi pembelian enam utas jam tangan mewah sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad, berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh (Hasanah) yang juga Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, telah menerima sumbangan berjumlah AS$12.1 juta daripada pihak luar pada 30 April 2018.

"Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bagaimana tertuduh telah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan itu dengan mengarahkan pegawainya untuk membuat pembelian enam utas jam tangan mewah.

"Pendakwaan juga akan menunjukkan tertuduh melakukan pembayaran kepada pihak ketiga dengan membawa keluar baki wang sumbangan itu dari pejabat Bahagian Penyelidikan tanpa menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia mahupun Bahagian Penyelidikan JPM," katanya membacakan ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Muhammad Iskandar berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang akan membuktikan Hasanah telah melakukan pecah amanah jenayah dengan harta berkenaan.

Pendakwaan akan menunjukkan bahawa wang sumbangan itu telah diberikan bagi tujuan khas namun telah tidak dilaksanakan oleh tertuduh sebagaimana tujuan khas itu sehingga menyebabkan kerugian AS$12.1 juta terhadap kerajaan Malaysia.

Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bahawa tertuduh telah gagal untuk mematuhi segala peruntukkan undang-undang termasuk Arahan Perbendaharaan berkenaan dengan pengurusan penerimaan wang sumbangan tersebut dari pihak luar.

Tertuduh juga tidak pernah pada bila-bila masa menyerahkan wang sumbangan yang diterima kepada Kerajaan Malaysia mahupun Bahagian Penyelidikan, JPM, katanya.

Muhammad Iskandar berkata, pihak pendakwaan juga akan bergantung kepada anggapan di bawah Seksyen 409B Kanun Keseksaan untuk membuktikan bahawa tertuduh mempunyai niat curang menyalahgunakan wang sumbangan itu.

"Bagi membuktikan kes terhadap tertuduh, pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung (direct evidence), keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence) dan keterangan dokumen (documentary evidence) bagi menunjukkan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan oleh tertuduh pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung di dalam pertuduhan," katanya.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X