Isnin, 5 Oktober 2020 | 12:13pm

Bapa tak sangka anak dibunuh

ALOR SETAR: "Kali terakhir saya bertemu dengan anak sulung itu pada Selasa lalu, ketika kami sekeluarga datang ke rumah sewanya di Taman Mahsuri, Jitra.

"Sebagai ayah, saya teringat nak jumpa sebab dia tinggal di rumah sewa, namun tak sangka itulah kali terakhir kami bertemunya sebelum kejadian malang itu berlaku," kata Md Sharif Md Daud, 45.

Md Sharif adalah bapa kepada Siti Nur Sufieza Md Sharif, 23, yang ditemui mati di ruang tamu rumah sewanya malam kelmarin, disyaki akibat dibunuh.

Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya yang baru pulang kerja jam 9.45 malam.

Md Sharif berkata, Siti Nor Sufieza seorang anak yang baik dan pendiam, serta sangat rapat dengan dua adiknya.

Katanya, arwah anak sulung dari tiga beradik dan kejadian yang menimpanya amat mengejutkan mereka sekeluarga.

"Saya terima panggilan dari rakan serumah arwah jam 11 malam kelmarin memaklumkan Siti Nor Sufieza tidak sedarkan diri dan mulutnya berbuih.

"Saya terus bergegas ke Jitra sebelum dimaklumkan anak saya mati dibunuh. Sebagai bapa, saya memang sedih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Sharif berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum ini malah dia kelihatan biasa ketika mereka berjumpa.

Katanya, arwah juga tidak pernah bercerita buruk padanya sebelum ini jika mempunyai sebarang masalah.

"Dia cuma bagitau kalau dia demam atau sakit saja, yang lain dia tak pernah beritahu pun.

"Memang saya terkejut bila dengar anak dibunuh tapi kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Md Sharif berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk ambil tindakan lanjut terhadap si pelaku yang disyaki menyebabkan kematian anaknya

Katanya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu, di sini semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, yang bekerja sebagai ejen insurans di Bandar Darulaman, Jitra itu ditemui terbaring di ruang tamu rumah sewanya dan dipercayai mati dibunuh.

Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai rakan lelaki mangsa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X