Jumaat, 2 Oktober 2020 | 10:39pm
Polis mengangkat mayat lelaki warga Myanmar di Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Polis mengangkat mayat lelaki warga Myanmar di Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI

Lelaki Myanmar ditemui mati di pondok kolam udang

SITIAWAN: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dipukul rakan senegara, di pondok sebuah kolam udang di Kampung Acheh, di sini, hari ini.

Difahamkan, mayat mangsa dijumpai rakan sekerjanya sebelum memaklumkan perkara itu kepada majikan mereka.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, anggota polis yang bergegas ke lokasi mendapati mayat mangsa berusia 30-an itu berada dalam keadaan berlumuran darah.

"Siasatan awal menemui kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa disyaki akibat dipukul suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, mangsa bekerja di kolam udang itu bersama dua kakitangan lain, manakala suspek adalah bekas pekerja dan dikatakan menumpang tidur di pondok terbabit.

"Mangsa dan suspek dipercayai bergaduh, namun punca kejadian serta pergaduhan mereka masih disiasat, termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan suspek dengan bantuan majikan mangsa yang terserempak dengan lelaki terbabit di tepi jalan, dipercayai mahu melarikan diri selepas kejadian.

"Suspek berusia 20-an itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, esok, untuk mendapatkan perintah reman," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X