Jumaat, 2 Oktober 2020 | 5:32pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Wanita tikam teman lelaki dipenjara 8 bulan

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menikam teman lelakinya sehingga paru-paru kanan mangsa bocor, Isnin lalu.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu ke atas Hairulbariyah Ahmad, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, semalam.

Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Sadiqin Mukhlis, 22, menggunakan sebilah pisau di kaki lima hadapan sebuah unit kediaman Flat Sri Johor, Cheras, di sini, jam 1.30 pagi 28 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan tetapi Timbalan Pendakwa Raya, Zuraidi Zulkifli, memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu menyebabkan mangsa cedera.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara kedua-duanya dan tertuduh ditampar mangsa lalu tertuduh yang marah bertindak menikam mangsa.

Mangsa kemudian dihantar ke sebuah pusat perubatan dengan pisau masih di dada.

Doktor yang merawat mangsa mengesahkan lelaki itu mengalami bocor paru-paru kanan atas, namun berada dalam keadaan stabil dan kecederaan berkenaan boleh sembuh. – BERNAMA

Berita Harian X