X
Khamis, 1 Oktober 2020 | 2:45pm
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am PGA Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din melihat lokasi rampasan daun ketum pihaknya bagi bulan September di Pb11, Sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar.NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am PGA Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din melihat lokasi rampasan daun ketum pihaknya bagi bulan September di Pb11, Sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar.NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

50 peratus rampasan ketum Perlis dari kawasan FELDA

PADANG BESAR: Kira-kira 50 peratus daripada 19.6 tan rampasan ketum di daerah ini didapati ditanam di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Perlis.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din, berkata rampasan itu dilakukan pihaknya sepanjang September membabitkan nilai RM716,980.

Jelasnya, rampasan selebihnya membabitkan daun ketum yang ditanam di beberapa kawasan seperti di Naka dan Pendang, Kedah.

"Antara kawasan FELDA yang dikesan menjadi kawasan penanaman pokok ketum adalah di Mata Ayer, Rimba Emas dan Chuping.

"Risikan turut mendapati sebahagian besar daun ketum yang ditanam di kawasan berkenaan dibawa ke Kuala Perlis melalui laluan darat menggunakan kenderaan kecil seperti kereta sebelum diseludup ke Thailand melalui sempadan perairan.

"Bulan ini, lima tan daun ketum berjaya dihalang daripada diseludup ke Satun, Thailand melalui perairan Kuala Perlis, manakala selebihnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sekitar Padang Besar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, penyeludup ketum bertindak licik apabila mula menyasarkan Kampung Wai, Kampung Pulau Ketam dan Batu Puteh di Kuala Perlis sebagai kawasan transit penyeludupan.

"Dua kampung ini terletak berdekatan dengan Satun dari arah pantai dan jaraknya sekitar 1.3 batu nautika, ini memudahkan mereka menyeludup menggunakan sampan sahaja.

"Taktik penyeludupan melalui laut juga menunjukkan peningkatan sehingga pihak kami mencadangkan supaya diletakkan bot Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) yang lebih kecil dan mudah ketika menyeberangi perairan cetek," katanya.

Beliau berkata, penyeludup aktif pada waktu senja, awal pagi dan hujan lebat bagi menyeludup ketum ke sempadan Malaysia-Thailand kerana beranggapan kawalan dan rondaan ketika itu longgar.

Sementara itu, Abdul Razak berkata dalam Op Benteng sepanjang September lalu, pihaknya berjaya menahan 10 pendatang asing tanpa izin berusia antara 30 ke 45 tahun dari Bangladesh, Myanmar dan Thailand.

Berita Harian X