Rabu, 30 September 2020 | 10:22am
Seorang warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar di Kampung Baru Dengkil, dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam. NSTP/IHSAN PEMBACA
Seorang warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar di Kampung Baru Dengkil, dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam. NSTP/IHSAN PEMBACA

Warga emas meninggal dunia selepas dikejar anjing liar

PUTRAJAYA: Seorang wanita warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar, kira-kira jam 6.30 pagi di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, berkata dalam kejadian di Kampung Baru Dengkil itu, wanita berusia 65 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu ditemui terbaring di simpang empat jalan masuk Kampung Baru Dengkil dan Taman Baiduri Dengkil.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi, ketika kejadian beliau terdengar bunyi anjing menyalak dengan kuat dan melihat mangsa sedang berjalan perlahan menghala ke Taman Baiduri Dengkil sebelum dilihat terjatuh.

"Saksi terus menghubungi pihak ambulans untuk tindakan lanjut. Pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Dengkil tiba dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Gambar fail, sekumpulan anjing liar berkeliaran. - Foto BERNAMA
Gambar fail, sekumpulan anjing liar berkeliaran. - Foto BERNAMA

"Lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada badan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Md Noor Aehwan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

"Hasil laporan bedah siasat dapati punca kematian adalah akibat serangan jantung," katanya.

Berita Harian X