Selasa, 29 September 2020 | 3:03pm

Cuba larikan diri dari polis, 2 lemas

KANGAR: Dua lelaki disyaki penjenayah lemas selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam tali air ketika cuba melarikan diri daripada polis di Utan Aji, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, dua suspek berusia 21 dan 25 itu maut di lokasi kejadian selepas gagal keluar daripada kenderaan.

Katanya, sebelum itu, suspek yang menaiki kereta Honda Civic bertindak melarikan diri ketika cuba ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Lencongan Dua Kangar yang menyebabkan mereka dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

"Kereta dinaiki kedua lelaki terbabit dikesan gagal berhenti ketika melalui sekatan jalan raya sehingga anggota polis terpaksa mengejar mereka.

"Ketika melalui laluan tepi tali air, kereta itu terbabas dan terhumban ke dalam tali air sebelum tenggelam.

"Orang awam yang melihat kejadian berkenaan cuba membantu mengeluarkan mereka dan ketika dikeluarkan, kedua-duanya dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, kedua lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba pada jam 11.40 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta dinaiki mereka adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dua lelaki lemas selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam tali air sewaktu dikejar polis ketika lari dari sekatan di Utan Aji, Kangar pagi tadi. - Ihsan pembaca
Dua lelaki lemas selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam tali air sewaktu dikejar polis ketika lari dari sekatan di Utan Aji, Kangar pagi tadi. - Ihsan pembaca
Berita Harian X