Rabu, 23 September 2020 | 11:02am
Anggota Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sungai Petani mengambil tindakan penahanan operasi kelengkapan terhadap kilang kayu di Bukit Selambau selepas didapati menghasilkan pencemar udara tanpa sistem kawalan ditetapkan. - NSTP/ihsan JAS
Anggota Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sungai Petani mengambil tindakan penahanan operasi kelengkapan terhadap kilang kayu di Bukit Selambau selepas didapati menghasilkan pencemar udara tanpa sistem kawalan ditetapkan. - NSTP/ihsan JAS

JAS sita peralatan kilang cemar udara

SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita peralatan sebuah kilang berasaskan kayu di Bukit Selambau di sini, kelmarin kerana menghasilkan pencemar udara tanpa sistem kawalan ditetapkan.

Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan, berkata kilang berkenaan dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan oleh JAS Cawangan Sungai Petani selepas menerima banyak aduan awam mengenai pencemaran terutama bau dan asap.

"Dalam operasi itu, anggota penguatkuasa mendapati kilang terbabit mengeluarkan pencemar udara tanpa sistem kawalan pencemaran udara mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

"Peralatan digunakan kilang terbabit disita selepas didapati tidak dipasang sistem kawalan pencemaran udara," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norazizi berkata, JAS memberi tempoh dua minggu kepada kilang terbabit untuk mengambil tindakan pembaikan.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, perintah larangan operasi akan dikeluarkan Ketua Pengarah JAS hingga mereka mengambil tindakan berkenaan.

"Penahanan operasi kelengkapan di dua kilang terbabit dilakukan mengikut Seksyen 38(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Dalam operasi berasingan, Norazizi berkata, pihaknya juga menyiasat satu kilang berasaskan kayu di Bukit Selambau kerana didapati melanggar Perintah Larangan dikeluarkan Ketua Pengarah JAS sebelum ini.

Katanya, siasatan dilakukan berikutan aduan berterusan daripada penduduk berdekatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"JAS memberi amaran akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan premis sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah jika terdapat premis yang terus degil melakukan pencemaran alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi kepada mereka melanggar undang-undang dan garis panduan keselamatan digariskan JAS dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berita Harian X