Isnin, 21 September 2020 | 4:39pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Mohon bicara kes Hasanah tertutup

KUALA LUMPUR: Pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya perbicaraan kes pecah amanah bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, dijalankan secara tertutup.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan perkara itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada pada prosiding sebutan kes hari ini.

Muhamad Iskandar ketika ditemui media selepas prosiding berkata, pihaknya memohon perbicaraan dijalankan secara tertutup bagi mendengar keterangan 15 saksi atas alasan kepentingan dan keselamatan negara.

Muhamad Iskandar kemudian memohon mendapatkan tarikh singkat daripada mahkamah bagi membolehkan pendakwaan memfailkan notis permohonan dan menyerahkan kepada peguam bela.

Beliau turut memohon supaya mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5 hingga 22 Oktober ini.

Dalam prosiding itu, peguam bela Hamdan Hamzah mengesahkan menerima dokumen tambahan dan memohon masa bagi meneliti permohonan pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini bagi kedua-dua belah pihak mengemukakan hujahan bertulis dan menetapkan pada 5 September tahun hadapan bagi mendengar pemohonan itu.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 30 April 2018 dan 9 Mei lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X