Ahad, 20 September 2020 | 8:18pm
Antara dadah yang dirampas. - NSTP/Ihsan PDRM
Antara dadah yang dirampas. - NSTP/Ihsan PDRM

Tokan dadah 'Pak Din Kekiaq' ditahan polis

PENDANG: Kegiatan licik seorang lelaki dipercayai tokan dadah yang dikenali sebagai 'Pak Din Kekiaq', berakhir apabila dia ditahan polis, semalam.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu yang aktif menghantar bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Sungai Tiang, di sini pada waktu awal pagi hingga lewat malam, ditahan kira-kira jam 8.30 malam di tepi jalan FELDA Sungai Tiang, susulan maklumat awam.

Lelaki berkenaan dikatakan sudah lama diburu polis dan hasil maklumat penagih yang pernah ditahan sebelum ini, mereka juga mengaku mengambil bekalan dadah dari suspek.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata hasil pemeriksaan polis menemui lima paket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk/ketulan disyaki heroin dianggarkan seberat 29.5 gram.

Turut ditemui, katanya, lima paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 4.7 gram.

"Suspek ditahan dan dadah yang ditemui dirampas untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arriz Sham berkata, polis turut menahan dua lelaki disyaki penagih dadah di FELDA Sungai Tiang yang disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) sebelum mereka diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan dadah boleh disalurkan terus menerusi talian 04-7541255," katanya.

Berita Harian X