Jumaat, 18 September 2020 | 10:49am

Lelaki maut ditikam objek tajam

SHAH ALAM: Seorang lelaki maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam di bahagian tengah abdomen dalam satu pertengkaran di Seksyen 9 pada Isnin lalu.

Mangsa, Mohammad Haykal Che Haron, 25, meninggal dunia petang semalam selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata kejadian berkenaan didapati berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan dua lelaki yang sedang berniaga di hadapan sebuah restoran.

Katanya, mangsa difahamkan memarahi kedua-dua lelaki berkenaan tanpa sebab, selain cuba menumbuk muka salah seorang daripada lelaki itu.

"Pada masa itu, seorang lagi lelaki melalui kawasan itu cuba meleraikan keadaan, namun mangsa bertindak mengejarnya sejauh 100 meter sebelum mangsa rebah dengan kesan darah pada bahagian perut.

"Siasatan awal turut mendapati tiada orang awam di kawasan itu melihat kejadian tikaman dan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak berfungsi disebabkan gangguan bekalan elektrik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke hospital dan menerima empat kali pembedahan untuk menghentikan pendarahan dalaman.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditikam dengan objek tajam sekali di bahagian tengah abdomen dan tikaman itu terkena organ usus mangsa.

"Susulan kejadian, kita menahan tiga individu berusia 29 hingga 47 tahun yang mana salah seorangnya mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini manakala salah seorang suspek mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) penyakit menta dibebaskan dengan jaminan polis ditahan semula bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Gambar dari video menunjukkan mangsa yang lemah diberi rawatan selepas ditikam menggunakan objek tajam dalam satu pertengkaran di Seksyen 9, Shah Alam. - Foto ihsan Pembaca
Gambar dari video menunjukkan mangsa yang lemah diberi rawatan selepas ditikam menggunakan objek tajam dalam satu pertengkaran di Seksyen 9, Shah Alam. - Foto ihsan Pembaca
Berita Harian X