Jumaat, 18 September 2020 | 8:18am
Dadah jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki di tepi jalan ladang kelapa sawit Jalan Jubai Labu Besar Limau, Lunas. - Foto ihsan PDRM
Dadah jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki di tepi jalan ladang kelapa sawit Jalan Jubai Labu Besar Limau, Lunas. - Foto ihsan PDRM

Dadah dalam genggaman tangan lelaki

bhnews.com.my

KULIM: Lelaki disyaki pengedar dadah berusia 24 tahun ditahan polis kerana memiliki dadah jenis heroin ketika serbuan di tepi jalan ladang kelapa sawit Kampung Jubai Labu Besar Limau, Lunas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek bekerja sebagai buruh ditahan jam 5.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 11 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 15.72 gram dalam genggaman tangan kanan lelaki itu.

"Suspek ditahan untuk membantu siasatan dan merampas dadah berkenaan.

"Berdasarkan rekod, suspek mempunyai satu rekod kesalahan mengikut Sekyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan pernah dihukum sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, harga pasaran dadah jenis heroin itu dianggarkan RM1,000.

Katanya, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis morfin dan dipercayai terbabit kegiatan sejak 2015 sehingga sekarang.

"Kes tangkapan suspek ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan barangan rampasan serta suspek dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan melaksanakan operasi berterusan untuk memastikan tangkapan dilakukan terhadap pengedar dadah di kawasan daerah ini.

Katanya, hasil operasi yang dilakukan berjaya menahan seramai tiga individu disyaki pengedar dadah dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Berita Harian X