Rabu, 16 September 2020 | 8:03am
Sebahagian daripada 42 lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang Khas Perak di tiga lokasi berasingan sekitar Taiping yang dijalankan IPD Taiping, kelmarin. - Foto ihsan PDRM
Sebahagian daripada 42 lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang Khas Perak di tiga lokasi berasingan sekitar Taiping yang dijalankan IPD Taiping, kelmarin. - Foto ihsan PDRM

42 lelaki ditahan berkaitan dadah

TAIPING: Empat tokan dadah antara 42 lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang Khas Perak membabitkan serbuan berasingan di tiga lokasi sarang penagih sekitar Taiping, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata operasi dianggotai 23 anggota serta tiga pegawai itu mendapati 30 daripada 42 lelaki terbabit positif ujian air kencing.

"Serbuan turut merampas dadah jenis heroin seberat 2.6 gram (g), syabu (8.1 g), serta empat biji pil Eramin 5 (2.3 g) membabitkan nilai keseluruhan RM995," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, 30 lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB), sementara enam tangkapan membabitkan kesalahan berkaitan bekalan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

"Selain itu, terdapat tiga tangkapan membabitkan kesalahan memiliki dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB, selain tiga lagi tangkapan dilakukan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya dalam kenyataan malam tadi.

"Operasi diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi mengenal pasti ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud selain penagih tegar di kawasan pentadbiran IPD Taiping," katanya.

Berita Harian X