Ahad, 13 September 2020 | 6:49pm
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) menggagalkan cubaan sekumpulan 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dan masuk ke negara ini di Bandar Penawar, Johor, awal pagi tadi. - NSTP/Ihsan ATM
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) menggagalkan cubaan sekumpulan 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dan masuk ke negara ini di Bandar Penawar, Johor, awal pagi tadi. - NSTP/Ihsan ATM

25 PATI ditahan cuba keluar, masuk Malaysia

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) menggagalkan cubaan sekumpulan 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dan masuk ke negara ini di Bandar Penawar, Johor, awal pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan dalam Op Benteng di Pantai Padang Mulud, Bandar Penawar, sekitar jam 1 pagi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), dalam satu kenyataan memaklumkan anggota Petugas Pos Pemerhati membuat serbuan selepas melihat sebuah bot kecil sedang merapati pesisir pantai pada jarak 400 meter dari pantai Padang Mulud.

Sekumpulan 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan. - NSTP/Ihsan ATM
Sekumpulan 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan. - NSTP/Ihsan ATM

"Hasil serbuan itu sembilan PATI ditahan. Mereka sedang bersembunyi dalam semak dipercayai menunggu untuk menaiki bot pulang ke Indonesia, namun bot berkenaan terus beredar dari lokasi, berkemungkinan selepas menyedari serbuan berkenaan.

"Pada jam 2.30 pagi kumpulan Quick Reaction Force (QFR) digerakkan untuk menjejaki saki-baki PATI berdasarkan pengesanan tapak kaki dan berjaya menangkap seorang PATI yang melarikan diri dan bersembunyi di hutan, satu kilometer dari lokasi serbuan pertama," katanya.

Sekitar lima jam kemudian, Petugas Pos Pemerhati membuat satu lagi serbuan selepas mengesan satu lokasi persembunyian di kawasan hutan pada jarak 300 meter dari Pos Pemerhati dan menahan empat PATI yang dipercayai baru masuk ke Malaysia.

"Pada jam 10 pagi, kumpulan QFR berjaya menahan 11 lagi PATI yang baru tiba di negara ini dan bersembunyi di kawasan hutan pada jarak 800 meter dari lokasi serbuan," katanya.

Keseluruhan tangkapan terdiri daripada 13 lelaki dan 12 perempuan berusia antara 21 hingga 57 tahun dengan nilai rampasan berjumlah RM28,489,40 membabitkan wang tunai berjumlah RM8,600 dan Rupiah19,487,025 (RM5,459,40) serta 30 unit telefon bimbit.

Kesemua PATI ini kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Berita Harian X