Selasa, 8 September 2020 | 4:36pm

Rugi lebih setengah juta diperdaya 'pegawai polis'

KOTA BHARU: Bukan hanya duit simpanan, malah wang pinjaman daripada tiga institusi perbankan turut hangus selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Kerugian mencecah RM586,000 itu dialami seorang wanita berusia 40-an yang juga penjawat awam selepas dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata mangsa mula-mula dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan pada 26 Julai lalu dengan alasan terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta.

"Mangsa kemudian dihubungkan dengan beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis termasuk pegawai penyiasat (IO) kes pengubahan wang haram.

"Selama beberapa hari, mangsa dan suspek yang menyamar sebagai IO kes berhubung bagi tujuan siasatan dan mangsa tidak dibenarkan memaklumkan siasatan itu kepada sesiapa termasuk ahli keluarga mahupun kenalan.

"Dalam tempoh sama, mangsa juga diminta mendedahkan kesemua akaun bank dimiliki," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, pada penghujung Julai lalu, suspek yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat Inspektor menghantar satu imej waran tangkap terhadap mangsa melalui aplikasi Whatsapp bagi menangkap dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Menurutnya, mangsa kemudian dihubungkan kepada suspek lain yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang sudi membantu menyelesaikan masalah mangsa dan pada masa sama memperdaya mangsa untuk membuat beberapa transaksi pindahan wang sehingga lebih RM200,000 ke beberapa akaun bank peribadi milik pihak ketiga.

"Mangsa juga diperdaya untuk membuat tiga pinjaman bank berjumlah RM370,000 dengan tiga institusi perbankan berbeza dalam tempoh 30 hari, yang mana sebaik kesemua pinjaman itu diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun bank miliknya, mangsa diarahkan untuk menyerahkan butiran perbankan internet serta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bagi semua akaun bank itu kepada suspek.

"Mangsa mula menyedari diperdaya sindiket Macau Scam dan berkongsi dengan seorang ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis dengan kerugian RM586,000 dua hari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, ia adalah kerugian terbesar untuk kes Macau Scam dicatatkan polis Kelantan tahun ini.

Katanya, polis sering kali membuat paparan dan laporan dalam media massa berkaitan jenayah ini namun orang ramai masih terpedaya.

"Jangan sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Berita Harian X