Khamis, 3 September 2020 | 3:27pm
Dua buah kereta dikesan tersalah memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Petaling Jaya, baru-baru ini akibat tersalah mengikut arahan diberikan menerusi aplikasi panduan arah.
Dua buah kereta dikesan tersalah memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Petaling Jaya, baru-baru ini akibat tersalah mengikut arahan diberikan menerusi aplikasi panduan arah.

Pemandu kereta dakwa Waze bawa salah masuk lorong

KUALA LUMPUR: Gara-gara tersalah mengikut arahan aplikasi panduan arah, dua pemandu kereta dikesan tersilap memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur ke arah Klang dalam dua kejadian berasingan, baru-baru ini.

Dua kejadian berkenaan berjaya dirakam oleh penunggang motosikal yang menggunakan lorong motosikal di situ sebelum rakaman video itu tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak polis yang kemudian membuat dua laporan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dua laporan polis itu dibuat oleh seorang pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam selepas menonton dua rakaman video berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

"Rakaman video pertama menunjukkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki, manakala rakaman video kedua menunjukkan sebuah kereta jenis PERODUA Bezza dipandu seorang wanita tersalah memasuki lorong motosikal.

"Kedua-dua pemandu berusia 33 tahun itu berjaya dihubungi dan hasil temu bual awal, kedua-duanya memaklumkan mereka mengikuti arahan daripada aplikasi Waze yang digunakan untuk memasuki sebuah lorong kecil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua pemandu itu mula menyedari mereka silap memasuki lorong selepas melihat banyak motosikal menggunakan laluan berkenaan.

"Beberapa penunggang motosikal yang melihat kejadian itu kemudian mengarahkan mereka berhenti sebelum menunjukkan laluan keluar ke jalan utama.

"Kedua-dua pemandu berjaya dikesan dan dihubungi bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, kejadian pertama membabitkan kereta PERODUA Bezza pada 28 Ogos lalu kira-kira jam 3 petang, manakala kejadian kedua membabitkan kereta Toyota Vios pada Ahad lalu, kira-kira jam 7.10 malam.

Berita Harian X