Selasa, 1 September 2020 | 4:52pm

PGA rampas ketum RM3 juta

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 63 tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran bernilai lebih RM3 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil, berkata rampasan itu adalah hasil penugasan bergilir batalion PGA setiap bulan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, PGA mengesan modus operandi baharu dilakukan penyeludup menggunakan bot di laluan pantai bagi menyeludup daun ketum ke negara jiran.

"Taktik yang biasa dilakukan penyeludup adalah membawa bungkusan plastik lut sinar mengandungi daun ketum ke kawasan sempadan.

"Mereka kemudian menunggu di kawasan itu dan membungkus semula daun ketum ke dalam guni untuk diseludup ke kawasan transit di dalam hutan untuk dibawa ke Thailand.

"Bagaimanapun, cubaan mereka kerap gagal apabila anggota PGA yang melakukan rondaan menemui bungkusan guni daun ketum yang ditinggalkan," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Utara, di sini, hari ini.

Md Dali berkata, harga pasaran daun ketum tempatan hanya kira-kira RM30 sekilogram, namun nilainya dua kali ganda di negara jiran menyebabkan penyeludup sanggup melakukan pelbagai cara untuk melakukan penyeludupan.

"Bagi penugasan Batalion 2 PGA Kulim sepanjang Ogos ini, sebanyak 11.6 tan daun ketum bernilai RM348,930 berjaya dirampas.

"Selain daun ketum, kita turut merampas 200 botol ubat batuk, 53 gram syabu, 51 gram ketamin, lima gram heroin, 80 pil estacy dan 15 telefon bimbit," katanya.

Terdahulu, Md Dali menyerahkan penugasan Op Benteng Covid (Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia Thailand dan pesisir pantai Batu Putih/Kuala Perlis dan Kurung Tengar) kepada Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintendan Abd Razak Md Din.

Batalion 2 PGA menjalankan penugasan menjaga Op Benteng di sempadan selama sebulan bermula 3 Ogos lalu, sebelum menyerahkan tugas itu kepada PGA Batalion 18 hari ini.

Md Dali (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas. NSTP/AMRAN HAMID
Md Dali (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas. NSTP/AMRAN HAMID
Berita Harian X