Ahad, 30 Ogos 2020 | 10:04pm
Anggota bomba menjalankan operasi mencari seorang kanak-kanak selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu, hari ini. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba menjalankan operasi mencari seorang kanak-kanak selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu, hari ini. - Foto ihsan bomba

Budak enam tahun dikhuatiri lemas terjatuh dalam parit

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.37 petang tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rudzuan Husain tiba di lokasi jam 5.44 petang.

Beliau berkata, operasi disertai tujuh anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Maklumat awal diterima anggota kami di lokasi kejadian mendapati, terdapat dua kanak-kanak lelaki dipercayai dihanyutkan air dalam parit.

"Bagaimanapun seorang daripadanya berjaya diselamatkan orang awam manakala seorang lagi kanak-kanak berusia enam tahun masih hanyut menuju ke hilir sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tindakan pasukan bomba melakukan pencarian di lokasi dan di kawasan hilir menuju ke sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani sudah berada di lokasi kejadian.

"Setakat identiti kedua-dua kanak-kanak itu belum diperoleh.

"Operasi turut disertai anggota polis dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi mencari mangsa akan disambung esok dan pencarian di permukaan air masih diteruskan malam ini.

Berita Harian X