Rabu, 26 Ogos 2020 | 4:16pm

Maki, tolak anggota JPJ tahan kereta

KUALA NERUS: Seorang lelaki memaki hamun dan menolak anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas keretanya ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Teluk Ketapang di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 5.55 petang ketika JPJ melakukan sekatan jalan raya di lokasi itu sebelum menahan sebuah kereta mewah yang didapati tidak mempamerkan cukai jalan dan menggunakan cermin gelap.

Sumber berkata, pemandu kereta itu memberhentikan kenderaan sebelum diberi penjelasan berkaitan kesalahan dilakukan.

Katanya, ketika penjelasan diberikan, suspek yang juga penumpang keluar daripada kenderaan itu dan menengking anggota bertugas dengan kata-kata kesat.

"Ketika itu, suspek mengeluarkan kata-kata seperti 'tulislah cepat sikit, saya banyak kerja lagi. Kalau setakat hendak saman RM10,000, RM10 juta aku boleh bayar' kepada anggota terbabit.

"Malah, beberapa minit kemudian, suspek dikatakan menghubungi seseorang untuk mengadu mengenai kejadian berkenaan, selain bertindak menolak mangsa sambil mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan," katanya.

Sumber berkata, melihat keadaan semakin tegang, pegawai bertugas di lokasi sama cuba menenangkan keadaan dengan menjelaskan tindakan diambil pihaknya namun tidak diendahkan suspek, sebaliknya cuba menolak anggota bertugas tetapi sempat dihalang pemandunya.

Katanya, suspek kemudian mengajak pemandunya meninggalkan lokasi kejadian tanpa mengambil notis saman dikeluarkan.

"Susulan kejadian itu, pegawai JPJ bertugas membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anggotanya selain ingin menjaga maruah jabatan JPJ," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Berita Harian X