Selasa, 25 Ogos 2020 | 11:17am

Pemilik Honda Accord nafi langgar lari penghantar makanan

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta Honda Accord yang nombornya kenderaannya diviralkan di media sosial, konon terbabit dengan kemalangan langgar lari membabitkan seorang pekerja penghantar makanan di Persiaran Putera Mahkota, Putra Heights dekat sini, semalam tampil membuat laporan polis menafikan perkara itu.

Lelaki berusia 30 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Putra Heights pada jam 4.31 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.18 pagi itu, lelaki terbabit sedang memandu di Persiaran Putra Mahkota dari arah Persiaran Putra Perdana ke arah Persiaran Putra Indah.

Katanya, pemandu terbabit mendakwa dia dengan jelas nampak sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang seorang penghantar makanan terlanggar pembahagi jalan di tengah simpang tiga di laluan terbabit.

"Mangsa tercampak kira-kira lapan meter ke hadapan dan terbaring di tengah jalan dan pemandu terbabit kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dan keluar untuk membantu mangsa.

"Pada masa sama, beberapa orang awam dilihat bergegas keluar daripada sebuah mini pasar raya berhampiran untuk membantu mangsa termasuk beberapa penunggang motosikal.

"Apabila melihat sudah ramai yang menbantu mangsa, pemandu terbabit kembali semula ke kenderaannya dan meneruskan perjalanan membawa anaknya ke sebuah klinik di Main Place," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Susulan laporan polis itu, katanya pihak polis memeriksa dengan teliti kenderaan yang dipandunya itu dan mendapati tiada sebarang kesan kemalangan atau calar atau kemek pada kereta Honda berkenaan.

"Siasatan turut dibuat di lokasi kemalangan dan motosikal mangsa didapati tiada di tempat kejadian dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

"Mangsa, Mohamed Samsudeen Jainudeen berusia 20 tahun kini dari Taman Subang Alam, Seksyen 27, Shah Alam kini dirawat di Hospital Putrajaya dan dia dilaporkan berada dalam keadaan koma," katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, viral di media sosial memaklumkan berlaku kemalangan langgar lari membabitkan sebuah kereta Honda dengan seorang penunggang Food Panda di Putra Heights.

Berita Harian X