Isnin, 24 Ogos 2020 | 9:44pm
Bekas tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 13, Jalan Jerantut-Benta, hari ini. Foto ihsan Polis
Bekas tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 13, Jalan Jerantut-Benta, hari ini. Foto ihsan Polis

Tiga kenderaan bertembung, seorang bekas tentera maut

JERANTUT: Seorang bekas tentera, Zulhisham Azahar, 34, maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan dua kenderaan lain di Jalan Jerantut-Benta, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata kejadian berlaku pada jam 12.30 tengahari membabitkan sebuah lori dan dua kereta bertembung di Kilometer (KM) 13, Jalan Jerantut-Benta.

"Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila kenderaan Honda CRV dipandu Zulhisham dari Jerantut hendak ke Ulu Cheka dipercayai hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori.

"Pertembungan itu menyebabkan kereta Honda CRV dipandu mangsa berpusing masuk ke laluan asal dan bertembung pula dengan kereta Proton Waja yang turut menghala ke Ulu Cheka.

"Mangsa berasal dari Kampung Perlok, Ulu Cheka, meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada BH, hari ini.

Mazlan berkata, penumpang Honda CRV, Sidek Keng, 59, dari Kampung Pian, Kuala Krau, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu lori, Bahari Hamdan, 32, berasal dari Felda Keratong 9 Bandar Perantau Damai dan pemandu serta penumpang Proton Waja, Nurhasyimah Abd Manaf, 23, dan Noradila Ahmad, 23, tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X