X
Selasa, 18 Ogos 2020 | 2:51pm
Warga Thailand, Muhammad, 29, dihukum penjara enam bulan kerana melanggar syarat pas lawatan sosial ke negara ini dengan mengutip derma secara haram. NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Warga Thailand, Muhammad, 29, dihukum penjara enam bulan kerana melanggar syarat pas lawatan sosial ke negara ini dengan mengutip derma secara haram. NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Warga Thai dipenjara, salah guna pas lawatan minta derma haram

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga Thailand dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar syarat pemegang pas lawatan sosial dengan mengutip derma secara haram.

Berdasarkan pendakwaan, Muhammad, 29, dengan nombor pengenalan diri AB3570176 didakwa menjalankan kutipan derma secara haram pada 4 Ogos lalu, kira-kira jam 6 petang di kaki lima sebuah bank di Sungai Siput (U).

Kesalahan itu melanggar peruntukan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang boleh dihukum mengikut peraturan sama iaitu denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Rohaida memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap seorang pegawai polis semasa tugas pemantauan Ops COVID-19. Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati tertuduh memasuki Malaysia pada 17 Mac lalu melalui Rantau Panjang, Kelantan dengan pas lawatan sosial yang tamat tempoh pada 15 April.

Hasyutantee ketika ditemui berkata, hasil semakan dengan institusi yang namanya digunakan tertuduh untuk meminta derma mendapati tidak pernah memberi izin tertuduh berbuat demikian.

"Disebabkan itu kita minta supaya wang yang dikutip oleh tertuduh dilupuskan," katanya.

Sewaktu perbicaraan berlangsung, antara barang kes yang dikemukakan untuk mensabitkan tertuduh adalah surat dengan kepala surat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Berita Harian X