Selasa, 18 Ogos 2020 | 12:22pm

2 didenda buat laporan palsu

KUALA KANGSAR: Dua individu masing-masing dijatuhkan hukuman denda RM800 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu.

Hukuman dijatuhkan selepas kedua-dua tertuduh, S Sharonien, 32, dan G Sharmila, 22, mengaku bersalah di hadapan Hakim, Rohaida Ishak dengan pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Melayu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Inspektor Ahmad Firdaus Abdullah dengan mengetahui ia bakal menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasanya yang sah untuk melakukan apa tidak seharusnya dilakukan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di IPD terbabit pada hari dan masa berasingan, iaitu jam 4.10 petang pada 11 Ogos bagi kesalahan dilakukan Sharmila manakala jam 3.30 petang, 12 Ogos lalu bagi kesalahan yang dilakukan oleh Sharonien.

Kedua-dua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh membuat laporan palsu bagi mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan diri yang baharu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal di dua lokasi berasingan sedangkan siasatan lanjut mendapati tiada kejadian samun berlaku seperti yang didakwa.

Berdasarkan fakta itu juga, siasatan mendapati kehilangan beg dompet berisi pengenalan diri mereka adalah disebabkan tercicir.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Rohaida memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Berita Harian X